Pelatihan Penyembuhan Prana

 


 

Kaedah Penggunaan Kondom.
Oleh : Mohamed Yosri Mohamed Yong

 
 
 
 

(Tidak sesuai untuk dibaca oleh mereka yang berusia bawah
dari 15 tahun.  Baca atas tanggungan sendiri. )





























Maklumat yang diberikan ini hanyalah untuk makluman sahaja. Maklumat yang diberikan tidak sepatutnya digunakan untuk mengenal-pasti atau mengubati sebarang jenis penyakit. Sila rujuk kepada doktor atau ahli perubatan yang terlatih untuk tujuan mengenalpasti jenis penyakit dan rawatan yang bersesuaian.
 
 













Kaedah Penggunaan Kondom

Kaedah-kaedah pencegah kehamilan merupakan satu keperluan penting bagi merancang saiz dan masa yang tepat untuk mendapatkan anak. Ini adalah penting terutama bagi mereka yang baru bersalin atau mempunyai masalah kesihatan mengandung untuk mengelak dari mengandung. Salah satu cara mencegah kehamilan adalah dengan menggunakan kondom.

Kondom merupakan salah satu cara pencegah kehamilan yang paling mudah dan paling popular. Kondom telah pun digunakan oleh orang Mesir silam semenjak 1,000 B.C. sebagai cara mencegah kehamilan (Discover Oct 2000 m.s. 91).

Kondom berfungsi sebagai penghalang sperma sebelum sampai ke serviks dan masuk ke uterus. Kondom berbentuk sarung yang bertindak untuk memerangkap sperma. Pada kebiasaannya penggunaan kondom berkesan sehingga 75% jika digunakan dengan betul. Ini bererti masih terdapat 25% kemungkinan untuk berlakunya kehamilan, walaupun dengan menggunakan kondom. Untuk meningkatkan lagi keberkesanannya, pilihlah kondom yang mempunyai bahan pembunuh sperma "spermisida" walaupun berharga lebih mahal.

Sesetengah kondom mempunyai pelincir tanpa spermisida. Kondom ini tidak dapat membunuh sperma yang mungkin tertumpah ketika digunakan. Sekiranya anda menggunakan kondom tanpa spermisida dan ingin menggunakan spermisida yang dibeli secara berasingan, pilihlah spermisida yang berasaskan air. Ini disebabkan spermisida yang berasaskan minyak mampu melarut atau melemahkan kondom getah. Ini boleh menyebabkan kondom itu pecah atau bocor.

Kondom juga tidak sepatutnya disimpan terlalu lama atau disimpan ditempat panas kerana ini boleh melemahkan kondom dan boleh menyebabkan kondom bocor atau pecah ketika digunakan. Kondom juga tidak sepatutnya digunakan melebihi daripada sekali kerana kondom yang lemah mudah pecah dan bocor ketika digunakan.

Secara amnya terdapat dua jenis kondom yang berada di pasaran :-

  • Kondom untuk lelaki yang lebih meluas dipasarkan.
  • Kondom untuk wanita bagi pasangan lelaki yang enggan menggunakan kondom.
Kondom untuk lelaki
Kondom lelaki
Kondom untuk lelaki digunakan dengan memasangkannya pada batang zakar apabila zakar tegang sebelum melakukan hubungan seks. Adalah penting untuk memastikan tidak terdapat gelembung udara terperangkap apabila kondom dipasang. Selepas pancutan, adalah penting untuk berhenti daripada melakukan hubungan agar sperma tidak tumpah. Batang zakar hendaklah dikeluarkan dengan segera dan cermat sebelum zakar mengecut menyebabkan sperma tertumpah. Kondom yang telah digunakan hendaklah diikat sebelum dibuang dan zakar hendaklah dibasuh dengan seberapa segera.

Kondom untuk lelaki terdapat dalam pelbagai jenis dan bentuk. Dua jenis utama adalah :-

  • Kondom yang diperbuat daripada getah
  • Kondom yang diperbuat daripada membrane haiwan.
Kondom Getah
Kondom yang diperbuat daripada getah adalah lebih baik disebabkan ianya adalah lebih nipis, mampu menghalang daripada penyebaran penyakit kelamin, dan lebih murah. Kondom berasaskan getah juga mampu menghalang penyebaran penyakit kelamin seperti HIV dan AIDs sekiranya digunakan dengan betul dan berkekalan.

Selain itu kondom untuk lelaki terdapat dalam pelbagai rupa dan bentuk, termasuk yang bercahaya dalam gelap, berbonggol, lebih nipis dan pelbagai jenis yang lain lagi. Bagaimanapun kondom biasa dengan spermisida adalah lebih terjamin keberkesanannya. Ini disebabkan penggunaannya telahpun terbukti berbanding kondom jenis lain.

Kondom Membrane
Kondom yang diperbuat daripada membrane asli hanya mampu menghalang sperma, tetapi tidak mampu menghalang virus penyakit kelamin daripada melepasi lubang pada membrane. Ini disebabkan virus lebih kecil daripada liang yang terdapat pada membrana secara semulajadi.

Bagi sesetengah pasangan, pengunaan kondom lelaki tidak sesuai. Ini disebabkan masalah tidak mampu bertahan ketika pemasangan kondom (hilang rasa ghairah), pasangan tidak gemar menggunakan kondom, mempunyai alahan kepada getah latex, atau kesukaran mendapatkan bekalan. Bagaimanapun akibat tidak memakai kondom, kemungkinan tersebarnya penyakit kelamin adalah lebih tinggi.

Kondom untuk wanita.

Gambar Kondom wanita.
Kondom untuk wanita berfungsi hampir sama dengan kondom untuk lelaki kecuali saiznya yang lebih besar. Adalah penting untuk memastikan tidak terdapat gelembung udara terperangkap apabila kondom dipasang. Selepas pancutan, adalah penting untuk berhenti daripada melakukan hubungan agar sperma tidak tumpah. Batang zakar hendaklah dikeluarkan dengan segera dan cermat agar sperma tidak tertumpah. Kondom yang telah digunakan hendaklah diikat sebelum dibuang dan zakar hendaklah dibasuh dengan seberapa segera.

Kondom untuk wanita perlu dipasang pada faraj sebelum melakukan persetubuhan dan perlu dibuang dengan cermat selepas hubungan kelamin untuk memastikan tiada sperma tertumpah kedalam faraj. Kondom wanita juga tidak boleh digunakan melebihi dari sekali. Kondom yang baru perlu digunakan setiap kali melakukan hubungan kelamin.

Ketika melakukan hubungan, adalah penting pasangan lelaki memastikan zakar tidak tersilap masuk di luar kondom. Pengunaan kondom wanita yang mempunyai bahan pembunuh sperma "spermisida" juga meningkatkan lagi keberkesanannya. Terdapat banyak pasangan yang tidak mengemari penggunaan kondom wanita disebabkan mereka tidak biasa dan juga memerlukan pemasangan kondom pada faraj wanita sebelum melakukan hubungan seks.

Penggunaan kondom lelaki dan wanita secara serentak tidak digalakkan. Ini disebabkan pergeseran antara kedua selaput getah akan menyebabkan kekesatan yang boleh membawa kepada kebocoran yang akan berlaku.

Penggunaan kondom sama ada kondom lelaki atau kondom perempuan, mampu menghalang daripada jangkitan penyakit kelamin. sekiranya digunakan dengan betul dan secara berterusan bagi setiap kali melakukan hubungan kelamin.

Bagi sesetengah pasangan, pengunaan kondom wanita tidak sesuai. Ini disebabkan pasangan mungkin tidak mampu bertahan ketika pasangan wanita memasang kondom, pasangan tidak gemar menggunakan kondom, mempunyai alahan kepada getah latex, atau kesukaran mendapatkan bekalan.

Bagi pasangan yang tidak sesuai menggunakan kaedah kondom, masih terdapat cara-cara lain bagi mengelakkan kehamilan yang tidak dirancang. Anda perlu berbincang dengan doktor  agar dapat memastikan kaedah yang digunakan bersesuaian dengan diri anda.

Rujukan

http://www.pranaindonesia.com?/html/male_condom.htm

Risalah "Contraceptive Methods", oleh Health Education Division, Ministry of Health Malaysia, T/P & P: 22/2001 But. 1 (100,000)

Risalah "Towards A Happy Family", oleh Health Education Division, Ministry of Health Malaysia, T/P & P: 22/2001 But. 2 (100,000)
 
 
 

Pengumuman: Saya ingin menjemput anda menambah pengetahuan dalam bahasa Melayu dengan melayari dan menyumbang bahan di :- http://ms.wikipedia.org/wiki/Main_Page

 Pelatihan Penyembuhan Prana

Maklumat yang diberikan ini hanyalah untuk makluman sahaja. Maklumat yang diberikan tidak sepatutnya digunakan untuk mengenal-pasti atau mengubati sebarang jenis penyakit. Sila rujuk kepada doktor atau ahli perubatan yang terlatih untuk tujuan mengenalpasti jenis penyakit dan rawatan yang bersesuaian.
 
 

  Fight Spam! Click Here!
FightSpam!

 

 

1